Presiden FAS dipinta letak jawatan serta-merta

(dari dua kiri) Iskana dan Waili menuntut presiden FAS meletak jawatan serta-merta. Turut kelihatan adalah ahli ESPA Burhaniza Abu Bakar (kiri) dan Jackson Maxwell.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Mei: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais dipinta meletak jawatan dengan serta-merta.

Gesaan ini dibuat Persatuan Bolasepak Bahagian Samarahan (PBBS) dan Persatuan Bekas Pemain Sarawak (ESPA), yang mendakwa Posa tidak telus dan tidak amanah dalam mentadbir badan bolasepak negeri.

Advertisement

Pada sidang media bersama yang diadakan di sini hari ini, Presiden PBBS Mohd Iskana Bujang berpendapat FAS di bawah pimpinan Posa pada masa sekarang bergerak menuju ke arah “kehancuran”.

“Saya menganggap pentadbiran dibawah presiden pada masa ini tidak telus dan tidak beramanah.

“Banyak perkara yang dilakukan beliau (Posa) membelakangi prosedur operasi standard dan tidak mengikut perlembagaan FAS.

“Saya dan rakan-rakan lain melihat sejak dari Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada bulan Oktober 2018 sehingga sekarang, FAS pimpinan Posa bergerak menuju kehancuran,” Mohd Iskana berkata.

Pasukan serba mantap Sarawak di era 80-an.
Pasukan Sarawak yang menjuarai Liga Perdana Malaysia pada tahun 1997.

Di samping itu, beliau juga bersetuju dengan kenyataan ketua menteri pada sidang akhbar di bulan Mei tahun lepas yang menyarankan perlu dibuat penstrukturan semula pada FAS.

Ujar Iskana, ketua menteri juga telah mendapat maklum balas yang kurang baik berkenaan pentadbiran FAS dan tindakan harus dilakukan sekarang.

“Bermakna tiada apa yang beliau buat untuk memajukan sukan bolasepak di Sarawak. Pasukan belia, presiden dan senior Sarawak sekarang berada di kedudukan tercorot liga.

“Kita tak salahkan pemain-pemain meskipun jurulatih dan ini mungkin disebabkan pengurusan yang tak baik, maka wajib kita sarankan presiden FAS meletak jawatan dengan serta merta,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Presiden ESPA Waili Abang meluahkan rasa kesal dengan kemerosotan prestasi pasukan bolasepak Sarawak.

Katanya, Sarawak sepatutnya menjadi pencabar kepada pasukan lain untuk merebut gelaran juara liga dan piala yang lain seperti yang berlaku di era lewat 80-an dan 90-an.

Sehubungan dengan itu beliau bersetuju dengan Iskana yang FAS perlu melakukan perubahan pada pentadbiran.

“Kita bersetuju dengan PBBS iaitu FAS mesti melakukan rombakan dan seterusnya menyediakan perancangan untuk memajukan bolasepak Sarawak.

“Ahli-ahli di dalam ESPA yang memiliki pengalaman bermain sedia membantu jika diperlukan,” katanya. — DayakDaily

 

Advertisement