Premis disyaki menjual minyak wangi tiruan jenama terkenal diserbu

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas minyak wangi yang disyaki tiruan.

KUCHING, 22 Dis: Sebuah premis yang disyaki menjual minyak wangi tiruan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur diserbu Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 14 Disember lepas.

Serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada wakil cap dagangan Global Trade Shields (GTS) berhubung penjualan produk wangian pelbagai jenama terkenal.

“Ketika serbuan, seramai lapan orang pekerja sedang membungkus minyak wangi tersebut dipercayai untuk dipasarkan sekitar Semenanjung Malaysia yang dijual secara dalam talian.


“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat sebuah stor simpanan berada di dalam premis tersebut yang menempatkan pelbagai jenis dan jenama produk wangian badan,” kata Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil pengecaman awal daripada wakil pihak pengadu juga mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut adalah tiruan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sejumlah 13,577 unit minyak wangi pelbagai jenama dan kesemua minyak wangi tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM117,435.00.

“Lapan orang pekerja terbabit dan seorang pemilik perniagaan kesemuanya warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” ujar Azman. — DayakDaily