Majlis Pemimpin Adet Kayan Belaga dan Tubau seru GPS lantik ADUN Belaga sebagai menteri penuh

Pemanca Umek Jeno

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 22 Dis: Majlis Pemimpin Adet Kayan Belaga dan Tubau menyeru pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya melantik ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang sebagai menteri penuh.

Pengerusinya Pemanca Umek Jeno berkata, pengalaman dan kepimpinan Liwan sejak menggalas tanggungjawab sebagai menteri muda sudah terbukti.

“Kami penuh yakin dengan pengalaman dan kehebatan Liwan sebagai menteri muda sebelum ini dan oleh itu kami memohon pertimbangan pucuk pimpinan GPS untuk menaikkan beliau menjadi menteri penuh kali ini.


“Ini juga akan memberi peluang kepada wakil rakyat dari kalangan Orang Ulu untuk terlibat sepenuhnya dalam membuat dasar dan merancang pembangunan di kawasan luar bandar khasnya di kawasan masyarakat Orang Ulu yang masih jauh ketinggalan dari banyak perkara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Umek turut menyeru GPS untuk melantik seorang lagi wakil rakyat Orang Ulu untuk menjawat jawatan menteri muda khususnya ADUN Murum Kenndey ChukPai Ugon.

“Saya sebagai seorang ketua masyarakat ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon GPS yang telah menang dengan cemerlang dalam pilihanraya baru-baru ini.

“Ini menunjukkan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diterima dan mendapat sokongan rakyat Sarawak.

“Kami ingin merayu kepada pucuk pimpinan GPS khasnya Abang Johari supaya memberi peluang wakil rakyat dari kalangan Orang Ulu dilantik dalam kabinet baru sebagai menteri penuh dan juga menteri muda,” ujar Umek. — DayakDaily