Prado rempuh motosikal, seorang lelaki temui ajal

Keadaan lokasi kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Toyota Prado.

BETONG, Okt 6: Seorang lelaki warga emas yang juga merupakan pesara polis maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kampung Balingan di sini.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu mengakibatkan mangsa yang berumur 60 tahun menemui ajal akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang maut merupakan seorang pesara anggota polis.


Jelasnya, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan keluar simpang sebelum dilanggar oleh sebuah Toyota Prado.

kemalangan tersebut juga mengakibatkan Toyota Prado berkenaan terbabas lalu terbalik di dalam parit.

“Pemandu Toyota Prado itu dikatakan tidak sempat memberhentikan kenderaan yang dipandu selepas motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan secara tiba-tiba keluar dari simpang jalan.

“Impak rempuhan kuat tersebut mengakibatkan  mangsa tercampak ke dalam parit di bahu jalan berkenaan,” katanya hari ini.

Alexson menambah, kemalangan tersebut juga mengakibatkan Toyota Prado berkenaan terbabas lalu terbalik di dalam parit.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Betong untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily