PR dan taraf permaustatin tetap sangat berbeza, Chong digesa berhenti mengelirukan rakyat: Tan Kai

Tan Kai

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 15: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Tan Kai hari ini menuduh Pengerusi Pakatan Harapan(PH) Sarawak, Chong Chieng Jen sekali lagi cuba mengelirukan rakyat berhubung status permaustatin tetap(PR) dan taraf kewarganegaraan.

Bercakap kepada pemberita hari ini, PR dan kewarganegaraan katanya memiliki definisi yang sangat berbeza.


Tan Kai membangkitkan isu Chong yang cuba mengaitkan taraf PR Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian adalah sama dengan isu kewarganegaraan bekas ADUN Pujut yang telah dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa lepas.

“Sebagai Pengerusi PH dan DAP Sarawak, dan seorang peguam veteran, Chong harus berhenti mengelirukan rakyat Sarawak.

“Pandangan saya ialah pemegang PR tidak boleh menjadi pengundi dan juga tidak boleh menjadi calon. Kedua, pemegang PR tidak layak menikmati kemudahan kesihatan dan tidak boleh membeli rumah yang disediakan kerajaan.

“Sebaliknya, pemegang taraf kewarganegaraan boleh menikmati semua kemudahan yang disediakan kerajaan,’tegas Tan Kai.

Paling penting tambah beliau lagi, pemegang PR tidak dikehendaki untuk melafaskan kesetiaan kepada negara yang didiami, tapi pemegang taraf kewarganegaraan harus berbuat demikian.

Justeru katanya, PR adalah seperti dokumen perjalanan yang memiliki tarikh luput tetapi tidak untuk pemegang taraf kewarganegaraan.

“Bagaimana Chong sebagai seorang peguam veteran boleh mengatakan PR setaraf dengan kewarganegaraan.

“Sebenarnya beliau(Chong) ingin mengalihkan perhatian, keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan dan bukan Speaker DUN Sarawak seperti dakwaannya,” kata Tan Kai.

Semalam Dr Sim menerusi kenyataan media berkata, beliau tidak pernah memiliki kewarganegaraan Australia walaupun telah berada di Australia selama 17 tahun.

Menurut Dr Sim, sekembali ke Sarawak beliau berkhidmat di hospital awam sebaik sahaja menamatkan latihan sebagai kardiologi di Melbourne.

Bekas ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon katanya terus mendapatkan kewarganegaraan Australia sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam
bidang perubatan.

“Dengan memperolehi kewarganegaraan Australia, Tiong Choon melafaskan kesetiaan kepada Australia dan tidak lagi memerlukan taraf
permaustatin tetap,” kata Dr. Sim. —DayakDaily.