Chris Bishop
KUCHING, 15 JUN: Pusat Pemberian Vaksin(PPV) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang memulakan operasi sejak semalam mensasarkan 3,000 dos suntikan vaksin dalam sehari.
Pengerusi Jawatankuasa Covid-19 Unimas Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, ia merupakan usaha untuk membantu mempercepatkan pemberian vaksin kepada masyarakat khususnya di Kuching dan Samarahan.
“Sekitar 3,000 dos vaksin dapat diberikan dalam masa sehari di PPV Unimas sekali gus membantu mencapai kadar imuniti yang tinggi dalam kelompok masyarakat serta memerangi penularan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Unimas Profesor Datu Fadzil mengatakan mereka turut bercadang untuk melakukan program suntikan secara mobil dan juga secara pandu lalu.
Bagaimanapun kata Fadzil, perancangan tersebut masih dalam perbincangan dan tumpuan difokuskan kepada penyediaan sistem, susun atur logistik serta tenaga kerja di PPV Unimas setakat ini.
Menurut Pengarah Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS, Dr Ehfa Bujang Safawi pula, lebih 500 orang melibatkan pelajar dan kakitangan Unimas telah memohon untuk menjadi sukarelawan di PPV tersebut.
Tambahnya, pihaknya juga telah menghantar sebahagian sukarelawan yang dipilih untuk menjalani latihan di PPV Stadium Perpaduan Kuching dan PPV Dewan Kota Samarahan bagi mempelajari pengoperasian sistem MySejahtera dan lain-lain.
Beliau yang juga Pengarah PPV Unimas berkata, program itu akan diadakan di Dewan Delima iaitu salah satu dewan dalam Dewan DeTAR PUTRA dan operasi PPV akan bermula seawal jam 8.30 pagi sehingga 6.30 petang.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian bersama-sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datu Ik Pahon telah melakukan lawatan di PPV
UNIMAS diiringi Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi di sini, pada Ahad.
Dalam lawatan itu, Dr Sim menzahirkan penghargaan dan rasa kagum atas sistem pengurusan yang dilaksanakan oleh UNIMAS bagi melancarakan program pemberian vaksin berkenaan.
PPV UNIMAS melibatkan tiga bahagian utama iaitu 20 kaunter untuk pendaftaran, 12 kaunter vaksinasi dan 10 kaunter pemantauan selain ia lengkap dengan kemudahan kerusi roda dan laluan khas bagi warga emas
dan individu kelainan upaya (OKU). — DayakDaily