PPV Bergerak permudah golongan tercicir terima vaksin — Awang Tengah

Awang Tengah(tiga dari kanan) semasa mengadakan lawatan ke PPV Dewan Kebudayaan Persatuan Bisaya.

KUCHING, 29 JUN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak beri suntikan vaksin kepada golongan yang tercicir khususnya di luar bandar, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS), beliau berkata mereka yang tercicir diberikan perhatian sewajarnya untuk menerima vaksin.

“Kita akan bergerak untuk memastikan mereka yang tercicir dan mungkin tidak mempunyai pengangkutan atau mereka yang tiada keupayaan untuk bergerak dapat menerima vaksin Covid-19.

“Jadi, kita minta kerjasama semua pemimpin masyarakat, ketua kampung, tuai rumah untuk memberitahu siapa yang tidak mempunyai keupayaan untuk bergerak dan datang.

“Kita (PPV Bergerak) boleh pergi ke tempat mereka,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke PPV Dewan Kebudayaan Persatuan Bisaya di Batu Danau baru-baru ini.”

PPV tersebut setakat 24 Jun 2021 telah memberikan vaksin dos pertama kepada seramai 2,356 orang.

Ini bersamaan 67 peratus daripada 3,516 orang jumlah keseluruhan penduduk di 55 buah lokaliti yang disasarkan.

Sementara itu, Awang Tengah mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan MyVac yang terdiri daripada belia yang membantu proses pemberian vaksin di PPV Dewan Kebudayaan Persatuan Bisaya.

“Saya melihat para sukarelawan sama-sama berganding bahu dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Saya sempat bertanyakan kepada beberapa orang sukarelawan yang pertama kali bekerja selepas tamat persekolahan. Kebanyakan mereka bekerja untuk mendapatkan pengalaman selain mengisi masa lapang.

“Selain mendapat pengalaman untuk bekerja, mereka turut teruja untuk berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang. — DayakDaily