PPV Bergerak di Spak, Betong permudahkan penduduk luar bandar dapat vaksin

Gerald (dua dari kiri) bersama penerima vaksin di PPV Bergerak di KK Nanga Mujau, Spak. Foto: Ukas

KUCHING, 14 Jun: Pendekatan mewujudkan Pusat Pemberi Vaksin (PPV) Bergerak penting untuk memudahkan penduduk di luar bandar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menurut ADUN Layar Gerald Rentap Jabu, penduduk di kawasan Spak contohnya tidak perlu ke Betong dengan adanya PPV Bergerak di Klinik Kesihatan (KK) Nanga Mujau, Spak.

“Masyarakat di kawasan luar bandar kini telah mempunyai kesedaran untuk menerima vaksin Covid-19 dengan jumlah kehadiran ke PPV bertambah,” katanya memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).


Terdahulu Gerald semalam meninjau PPV Dewan Panglima Rentap dan PPV Bergerak di KK Nanga Mujau

Tambahnya lagi, program PPV Bergerak akan diteruskan secara bersiri dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi di kalangan penduduk kawasan pedalaman.

Sementara itu, seramai 100 orang penerima dari rumah panjang Mujau, Luing, Penyuin dan Ijok telah hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 semasa program PPV Bergerak di KK Nanga Mujau.

Di PPV Dewan Panglima Rentap pula, Gerald juga menyempurnakan majlis ringkas penyerahan sumbangan makanan dan minuman daripada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong untuk para petugas di PPV tersebut. — DayakDaily