PPTD sumbang 14,800 PPE kepada Jabatan Persekutuan Sarawak

Shahabuddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan PPE kepada seorang wakil jabatan.

KUCHING, Apr 22: Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Malaysia mengambil inisiatif menyumbang 14,800 peralatan perlindungan diri (PPE) kepada jabatan-jabatan persekutuan di Sarawak.

Projek sumbangan PPE ini bertujuan untuk membantu barisan petugas dan sebagai tanda sokongan kepada 112,000 orang penjawat awam persekutuan pelbagai agensi di Sarawak untuk terus bersemangat melaksanakan tugas menangani wabak Covid-19 yang melanda dunia masa kini.

“Objektif utama adalah untuk menjaga kebajikan penjawat awam persekutuan terhadap usaha-usaha mencegah dan menghadapi wabak Covid 19,” menurut PPTD menerusi kenyataan media hari ini.


Sumbangan sebanyak 14,800 PPE merangkumi topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan getah.

Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd. Shahabuddin Omar merangkap Pengerusi PPTD Cawangan Negeri Sarawak kepada wakil-wakil Jabatan Persekutuan Negeri Sarawak di pejabat beliau hari ini. —DayakDaily