PPM Wilayah 5 Sarawak rampas 207 kotak minuman keras

Pelbagai jenis minuman keras yang dirampas.

LUNDU, April 10: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak berjaya merampas 207 kotak atau 4,968 tin minuman keras pelbagai jenis menerusi satu serbuan di sebuah pasar mini di sini semalam.

Komandernya, Acp. Salehuddin Mat Zaman berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 11.45 pagi itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

Jelas beliau, siasatan mendapati premis berkenaan disyaki menjual minuman keras tanpa bayaran cukai daripada pihak Kastam.


“Semasa serbuan itu, pasukan yang diketuai Inspektor Mohd Fareed telah menahan seorang lelaki yang juga merupakan pemilik pasar mini berkenaan.

“Polis menahan lelaki Cina tempatan itu selepas dia gagal menunjukkan dokumen yang sah daripada pihak Kastam berkaitan minuman keras tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salehuddin menambah, pemilik pasar mini berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan minuman keras itu dianggarkan berjumlah RM13,496.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang belum lulus Kastam.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dari nilai duti atau cukai yang terlibat.

“Antara lain denda dan tidak melebihi 20 kali ganda dari nilai duti atau cukai terlibat atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily