PPM Wilayah 5 rampas rokok seludup, lori bernilai RM4.46 juta

Shamsol (tengah) menunjukkan rokok seludup yang drampas dalam Ops Kontraban dekat Simpang Gedong semalam (18 Mei 2021).
Advertisement

KUCHING, 19 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas rokok seludup serta sebuah lori bernilai RM4,462,500 selepas menahan sebuah lori di Jalan Serian-Sri Aman dekat Simpang Gedong, Serian, semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata, dalam operasi sekitar jam 5.50 pagi itu, pihaknya merampas 575 kotak rokok jenama ‘Parkway’ dan ‘Rave’ dan menahan seorang suspek warga tempatan, 52, iaitu pemandu lori berkenaan.

“Hasil pemeriksaan telah mendapati sejumlah kotak dipercayai berisi rokok dianggarkan benilai RM4,312,500 berada di atas lori berkenaan yang ditutup menggunakan kanvas berwarna hijau gelap.

Advertisement

“Ketika ditanya, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dengan muatan yang dibawa diatas lori tersebut,” katanya ketika sidang media di Markas PPM Wilayah 5 di sini hari ini.

ACP Shamsol Kassim

Beliau berkata, pihaknya percaya kesemua rokok tersebut diseludup masuk ke negeri ini menerusi jalan laut sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Katanya, ketika ditahan, lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Bintulu mempunyai permit merentas daerah dan Zon yang diluluskan oleh Polis Bintulu.

“Ketika diperiksa, pemandu lori terbabit yang berkerja dengan sebuah syarikat pengangkutan memiliki permit rentas daerah atau zon bagi pengahantaran barang keperluan penting (‘essential goods’) bukannya barangan kontraban ini,” katanya.

Shamsol (tengah) menunjukkan lori yang digunakan untuk mengangkut rokok seludp yang drampas dalam Ops Kontraban dekat Simpang Gedong semalam (18 Mei 2021).

Shamsol berkata, kesemua barangan yang dirampas dan pemandu lori berkenaan dibawa ke Markas PPM Wilayah 5 untuk tindakan selanjutnya.

Kes berkenaan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis (IPD) Serian untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Shamsol dalam pada itu turut menjelaskan sejak Januari hingga Mei tahun ini, PPM Wilayah 5 telah menghasilkan sebanyak 20 kes rampasan melibat barangan kontraban dengan ramapasan terbesar dilakukan di Sibu pada Mac lalu melibat nilai rampasan sekitar RM42 juta. — DayakDaily

Advertisement