Power Aquatics juara keseluruhan “1st Sarawak Swimming Short Course Sprint 2019”

Juara keseluruhan Kelab Renang Power Aquatics.

KUCHING, Ogos 11: Kejohanan renang “1st Sarawak Swimming Short Course Sprint 2019” menyaksikan Kelab Renang Power Aquatics (PASC) dari Sarawak muncul johan keseluruhan dengan kutipan 79 emas.

Berlangsung di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di Petra Jaya selama dua hari iaitu Ogos 10 dan 11, PASC mengalahkan 12 kelab renang lain termasuk 7 dari luar Sarawak.

Tempat kedua dan ketiga turut dimenangi kelab dari Sarawak iaitu Kawaras Swimming Club (39 emas) dan The Sarawak Club (31 emas).


“Kejohanan renang ini menjadi ‘platform’ kepada perenang memperolehi pengalaman bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Ianya juga sebagai usaha kita mencungkil bakat baru di dalam sukan renang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee.

Beliau mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di upacara penyampaian hadiah hari ini.

Dr Ong (berdiri di belakang, lima dari kanan) bergambar bersama pemenang terbaik setiap kategori.

Seramai 376 perenang bersaing di dalam enam kategori umur iaitu Terbuka Tahun 2002 ke atas, Kumpulan A Tahun 2003-2004, Kumpulan B Tahun 2005-2006, Kumpulan C Tahun 2007-2008, Kumpulan D Tahun 2009-2010 dan Kumpulan E Tahun 2011 ke bawah.

Kelab lain yang turut menghantar perenang ialah Kelab Renang Sarakuatik (Kuching), Kelab Renang Dashing Dolphin (Sibu), Kelab Renang Pontianak (Indonesia), Kelab Renang DSA (Kuala Lumpur), Srikl Sarkies Kuala Lumpur, Kelab Renang Excelsports (Kedah), Kelab Renang Ikan Bilis (Kuala Lumpur), Kelab Rekreasi Cina Penang dan Kelab Renang Blue Marlin (Sabah).

Turut hadir Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak Datuk Wee Hong Seng. — DayakDaily