Polisi baharu penyambungan elektrik beri kebaikan kepada 22,000 isi rumah

Dr Rundi pada sidang media di DUN hari ini (Nov 11, 2019).

Chris Bishop

KUCHING, NOVEMBER 11: Polisi baharu berhubung caj penyambungan bekalan elektrik di negeri ini bakal memberi kebaikan kepada 22,000 isi rumah, kata Menteri Utiliti Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Katanya, polisi atau program yang bakal bermula 1 Januari 2020 ini adalah khas untuk golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar dan isi rumah di kawasan luar bandar.


“Menerusi program ini, caj penyambungan elektrik dengan jumlah RM5,000 akan diberikan secara percuma.

“Manakala subsidi 70 peratus diberikan untuk caj penyambungan dari RM5,000 sehingga RM10,000,” katanya di sidang media selepas ucapan penggulungan kementerian beliau di persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) hari ini.

Selain bertujuan untuk meringankan beban pengguna, Dr Rundi percaya polisi tersebut bakal mempercepatkan usaha kerajaan mencapai liputan 100 peratus bekalan elektrik menjelang 2025.

Di sidang media yang sama, beliau turut berkata masalah kecurian bekalan elektrik telah menjadi isu besar masa ini dan Sarawak Energy Berhad memantau permasalahan itu dengan serius.

Menurut Dr Rundi, beberapa kenyataan dari wakil-wakil rakyat mungkin tidak tepat dan Sarawak Energy bertindak mengikut undang-undang dan ordinan sedia ada.

“Pengguna diberikan tempoh yang sewajarnya untuk menyelesaikan bil elektrik dan tempoh 36 bulan atau 3 tahun adalah had maksima sebelum bekalan diputuskan.

“Oleh yang demikian, dakwaan caj elektrik tinggi adalah tidak tepat kerana kemungkinan pengguna sengaja enggan membayar atau membaca jumlah sebenar caj yang telah dikenakan. — DayakDaily