Polis tidak berdrama dalam membanteras kegiatan perjudian

Denis (tiga kanan) semasa membuat lawatan kepada anggotanya yang tercedera dalam satu operasi

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 10 Nov: “Kita tidak berdrama seperti yang didakwa sesetengah pihak dan kita komited membanteras kegiatan perjudian di Sarawak,” tegas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong.

Malah beliau yang ditemui pemberita juga memberitahu Polis Kontinjen Sarawak merupakan antara yang terbaik di negara ini dalam usaha memerangi kegiatan perjudian.


Justeru beliau memohon kerjasama orang ramai untuk bersama-sama dengan polis dalam usaha tersebut dan tidak melempar tomahan yang boleh menganggu operasi polis.

“Tidak dinafikan ada pihak yang mendakwa kita hanya berdrama, tetapi sebenarnya kita sedang berusaha membuat yang terbaik dalam membanteras kegiatan perjudian.

“Selain itu, kita juga adalah antara yang terbaik dan apa yang kami perlu sekarang adalah kerjasama dan lebih banyak maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan ini,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas membuat lawatan kepada anggotanya yang tercedera dalam satu operasi tempoh hari juga memberitahu setiap maklumat yang disampaikan kepada pihaknya amat dipandang serius.

“Kita akan segera bertindak ke atas sebarang maklumat yang disalurkan, dan kepada pemberi maklumat, anda jangan risau kerana kita akan merahsiakan identiti anda,” katanya lagi.

Untuk tempoh Januari hingga semalam, Polis Sarawak berjaya membuat 1,624 serbuan judi dalam talian dengan 1,804 tangkapan dan rampasan wang tunai mencecah RM378,433.

Manakala operasi ke atas ‘call centre’ pula mencatatkan 25 serbuan dengan 144 tangkapan.

“Untuk kegiatan penjualan loteri haram pula, sebanyak 459 serbuan dibuat dan berjaya menangkap 501 individu dengan jumlah rampasan wang tunai sekitar RM114,943.

“Kegiatan judi dalam bangunan dan judi tempat bebas pula masing-masing merekodkan 26 dan 73 serbuan,” kata Denis. — DayakDaily