Polis terus gempur premis perjudian, 59 kaki judi dicekup

Polis menahan kaki judi dalam serbuan berasingan.

KUCHING, Jan 15: Terus gempur. Itulah yang dapat disimpulkan dengan kejayaan pihak polis menahan 59 orang kaki judi dalam 41 serbuan berasingan yang dilakukan di seluruh Sarawak bermula Jan 8 lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak,Datuk Dev Kumar berkata, daripada 59 individu yang ditangkap, 32 orang merupakan lelaki, manakala selebihnya 27 orang wanita.

Jelas beliau, kesemua mereka yang diberkas itu berusia antara 15 hingga 53 tahun termasuk tiga remaja bawah umur yang tidak lagi bersekolah.


“Pasukan polis telah melakukan 16 serbuan melibatkan kedai serbaneka dan premis menawarkan perkhidmatan isian semula judi dalam talian.

“Hasil serbuan pasukan polis telah mencekup 26 operator dan kaki judi serta merampas 21 tablet dan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM13,988 disyaki hasil kegiatan jenayah itu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, pasukan polis turut melakukan 25 serbuan ke atas premis menjual loteri haram dan berjaya menahan 33 individu.

Katanya, hasil serbuan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM6,705 serta peralatan judi yang digunakan.

“Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya lagi. — DayakDaily