Polis tangkap suspek belasah wanita di Pending

Gambar dari rakaman CCTV premis tersebut.

KUCHING,7 Okt: Seorang lelaki ditangkap selepas disyaki membelasah seorang wanita dipercayai kekasihnya di sebuah kedai makan di Pending, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 30an terbabit ditangkap hasil daripada siasatan yang dijalankan susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Suspek telah ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenahah IPD Kuching untuk siasatan lanjut.


“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan salah faham antara pasangan kekasih yang masing-masing berumur lingkungan 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau juga, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku semalam dan video dari rakaman kamera liter tertutup premis telah dikongsi di media sosial. — DayakDaily