Oleh Brad Rantayy
MIRI, 20 Okt: Padah memiliki senapang patah buatan sendiri bersama 18 butir peluru hidup dan satu butir kelongsong peluru tanpa permit yang sah, seorang warga tempatan dari Kampung Kejapil ,Bekenu, diberkas polis hari ini.
Lelaki berusia 48 tahun itu ditangkap pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri, dalam satu serbuan dinamakan ‘Ops Laras’ sekitar jam 2 petang di sebuah bengkel di Kampung Kejapil, Bekenu.
Menurut sumber polis, senapang yang dirampas tidak mempunyai nombor siri.
Dipercayai senjata tersebut digunakan oleh suspek untuk memburu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata, suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Tangkapan yang diketuai ASP Unang Giang dilakukan susulan maklumat orang awam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. — DayakDaily