Covid-19: Sabah kekal catat kes tertinggi

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 20 Okt: Sebanyak 862 kes baharu dilaporkan hari ini membabitkan 860 kes jangkitan tempatan dan dua kes import menjadikan kumulatif kes meningkat melepasi angka 22 ribu kes kepada 22,225 kes dengan 7,681 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, Sabah kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 673 kes atau 78.1 peratus daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini.

“Walaupun jumlah kes baharu di Sabah adalah 673 kes tetapi 231 kes daripada jumlah tersebut adalah dari kluster penjara Kepayan yang sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak akan menjangkiti masyarakat.

“Selain Sabah, Selangor turut mencatatkan pertambahan dengan 132 kes dengan 84 kes merupakan saringan daripada kluster sedia ada, 34 kes daripada saringan kontak rapat, dua daripada saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi manakala 12 lagi merupakan daripada lain-lain saringan Covid-19 yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri itu.

“Pada hari ini juga, negeri Kedah merekodkan 17 kes positif, Perak (9),Pulau Pinang (8), Kuala Lumpur (7), Labuan dan Negeri Sembilan masing-masing enam kes manakala empat negeri lagi iaitu, Sarawak, Johor, Kelantan dan Putrajaya masing-masing mencatatkan satu kes positif,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.


Kata Dr Noor Hisham, sejumlah 634 kes sembuh turut di laporkan hari ini menjadikan kumalatif kes sembuh meningkat kepada 14,351 kes atau 64.57 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sabah mencatatkan jumlah kes sembuh tertinggi iaitu sebanyak 433 kes diikuti Kedah (109), Selangor (77), Labuan (10) manakala Pahang, Johor, dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kes sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiga kematian akibat Covid turut dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu terus meningkat kepada 193 kematian sehingga kini.

Tambah Dr Noor Hisham, KKM kini sedang melakukan pemantau rapi terhadap pesakit Covid-19 yang sudah pulih sepenuhnya untuk melihat perkembangan status kesihatan mereka.

Katanya, pemantauan tersebut membabitkan kesan jangka sederhana dan jangka panjang melibatkan pesakit yang sudah discaj dari wad.

“Kita sedang melihat sama ada parut dalam paru-paru pesakit yang sebelum ini berada pada tahap empat atau lima jangkitan Covid-19 akan menyebabkan pesakit terbabit mengalami sesak nafas atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga sedang menjalankan kajian terhadap antibodi yang dihasilkan dalam tubuh pesakit Covid-19 dan tempoh ia berada dalam badan mereka.

“Antibodi akan terbina apabila seseorang pesakit itu telah dijangkiti, namun begitu menjadi persoalan ketika ini, berapa lamakah antibodi tersebut akan kekal dalam badan dan laporan awal mendapati ia semakin berkurangan selepas lapan minggu,” katanya. — DayakDaily