Oleh Brad Rantayy
MIRI, 15 Ogos: Seorang pemuda tiba-tiba mengamuk dan mengugut bunuh bapa kandungnya sendiri menggunakan parang ditahan polis untuk tindakan lanjut semalam.
Difahamkan, sebelum kejadian, sekitar jam 10 pagi pada Sabtu, suspek berusia 38 tahun itu telah datang ke rumah bapanya di Tudan, sebelum mengambil sebilah parang di dalam bakul sebuah motorsikal dan bertindak melibas senjata berkenaan ke arah bapanya.
Mujur, kehadiran dua orang anak saudara mangsa di lokasi berjaya menghalang perbuatan suspek.
Bimbang akan keselamatan dirinya dan keluarga, pengadu berusia 70 tahun itu telah membuat laporan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, susulan laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Tangkapan dilakukan sekitar jam 4 petang hari yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. ā DayakDaily