Polis tahan pemuda disyaki cedera adik kandung sebab marah pasal semut

Suspek dicekup anggota JSJ IPD Miri untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 April: Seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian kepala selepas disyaki dipukul abang kandungnya beberapa kali dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Pujut Tanjong Batu hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi itu, mangsa telah menegur abangnya mengenai makanan yang hendak dimakannya sudah dimakan semut.


Berang, lelaki berusia 30 tahun itu bertindak memukul mangsa beberapa kali pada bahagian kepala menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan.

Satu laporan polis mengenai kejadian telah dibuat oleh kakak mangsa yang turut berada di lokasi kejadian.

Bertindak dari laporan diterima, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek kurang 1 jam selepas dimaklumkan kejadian.

Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. — DayakDaily