Polis tahan lelaki disyaki tendang budak berusia 11 tahun

Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 April: Perbuatan seorang lelaki menendang seorang budak lelaki berusia 11 tahun pada petang Sabtu (24 April), membawa padah apabila dia ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Suspek berusia 34 tahun dari Kampung Kuala Sibuti itu ditahan polis sekitar jam 10.06 pagi semalam berhubung insiden tersebut.


Dalam kejadian pada petang Sabtu, mangsa dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian dada disyaki akibat ditendang suspek yang berang selepas mendapat tahu anak lelakinya berusia tiga tahun terjatuh semasa bermain bersama mangsa.

Mangsa kemudiannya memberitahu perihal kejadian kepada kakaknya yang berusia 16 tahun yang kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Bertindak dari laporan tersebut, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan. — DayakDaily