Oleh Brad Rantayy
MIRI, 21 April: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengamuk dan mengugut mencederakan ibunya dalam satu kejadian amuk di sebuah rumah di Taman Piasau, Jalan Piasau Edar pagi tadi.
Difahamkan, suspek berusia 31 tahun itu disyaki tiba-tiba “naik minyak’ selepas ditanya mengenai keberadaan sebuah periuk kukus milik ibunya disyaki hilang dicuri dan telah bertindak memecahkan barangan di dalam rumah menggunakan sebuah kerusi kayu dan mengugut ibunya.
Tangkapan dilakukan sekitar jam 4 petang tadi iaitu lima jam selepas pengadu tampil membuat laporan polis.
Suspek telah ditangkap anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dan dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily