Polis tahan lelaki disyaki mabuk bawa parang serang rakan serumah

Suspek (tiga dari kiri) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Dis: Seorang lelaki tempatan cedera parah pada bahu kiri selepas diserang rakan serumahnya yang disyaki mabuk menggunakan sebilah parang pada malam Rabu (15 Dis).

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu di dalam sebuah bilik rumah sewa di Desa Indah 3 Bandar Baru Permyjaya, mangsa, berusia 42 tahun itu bersama isterinya sedang makan apabila didatangi suspek yang bersenjatakan sebilah parang.


Sebaik berada di dalam bilik mangsa, suspek secara tiba-tiba melibas parang sepanjang 24 inci itu ke arah mangsa sebanyak dua kali dan terkena pada bahu kiri mangsa.

Isteri mangsa yang ketakutan, telah keluar daripada bilik tersebut dan menjerit meminta tolong dari jiran sebelah rumah.

Pihak polis telah tiba di lokasi sebaik menerima laporan kejadian.

Suspek berusia 59 tahun itu berjaya ditahan dan dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek telah cuba melarikan diri ke arah belakang rumah sewa tersebut sebelum ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan mabuk semasa menyerang mangsa.

Difahamkan mangsa dan suspek telah mendiami rumah tersebut selama dua minggu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(1) Akta Immigresen 1959. — DayakDaily