Polis tahan 5 lelaki sabung ayam di Jalan Stutong

Pihak polis membuat tangkapan dan rampasan di lokasi kejadian di Jalan Stutong, Kuching.

KUCHING, 10 Feb: Polis telah menahan lima lelaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam di sebuah tanah lapang di Jalan Stutong di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah, dalam satu kenyataan, berkata kesemua suspek berusia antara 26 dan 60 tahun itu, ditangkap semasa ‘Ops Limau’.

“Pihak polis turut merampas beberapa ekor ayam, alat penimbang dan wang tunai berjumlah RM310,” katanya.


Beliau juga berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999.

Semua suspek telah direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) di Mahkamah Majistret Kuching bermula semalam (9 Feb). — DayakDaily