Polis tahan 17 lelaki leka sabung ayam di Kg Batu Gong

Beberapa individu yang ditahan di sebuah pondok di kebun sayur di Kampung Batu Gong, Siburan selepas didapati terlibat dalam aktiviti sabung ayam.

SIBURAN, 14 Feb: Seramai 17 lelaki ditahan polis Padawan dekat sebuah pondok kebun sayur di Kampung Batu Gong disini ketika sedang leka melakukan judi sabung ayam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kesemua yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 37 hingga 68 tahun.

“Ketika serbuan dilaksanakan pagi tadi dalam Ops Limau, kesemua idividu terbabit sedang leka bermain judi sabung ayam.


“Dalam serbuan tersebut kita turut turut rampas lima ekor ayam sabung (hidup), dua ekor ayam (mati), dua bilah taji ayam, satu alat timbang, satu meja kayu dan wang tunai pelbagai dominasi berjumlah RM39,740,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ayam sabung yang dipercayai digunakan untuk judi yang dirampas oleh pihak polis.
Wang tunai yang dipercayai digunakan untuk judi sabung ayam yang dirampas oleh pihak polis.

Menurut Aidil, kesemua yang ditahan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962. — DayakDaily