Oleh Juetila Ozzy
KUCHING, 1 Mei: Polis siasat cubaan seludup syabu ke sebuah pusat kuarantin Covid-19 di Jalan Padungan, di sini guna bungkusan makanan.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari, hari ini (Sabtu) apabila seorang lelaki telah datang ke lobi hotel berkenaan untuk menghantar bungkusan makanan kepada seorang penghuni di pusat kuarantin tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani memberitahu lelaki terbabit kemudian terus meninggalkan pusat kuarantin tersebut.
“Seterusnya, anggota yang bertugas di pusat kuarantin tersebut bersama dua anggota RELA memeriksa bungkusan tersebut dan menjumpai dua peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki syabu,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melibatkan rampasan tanpa tangkapan.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui identiti sebenar lelaki yang menghantar barang tersebut,” katanya.