Polis selesaikan 9 kes curi, 4 suspek ditangkap

Fisol (tengah) menunjukan barangan kes pada sidang media di Kuching

Oleh: Chris Bishop

KUCHING, 29 Dis: Polis berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah termasuk curi premis kedai dengan tertangkapnya empat suspek menerusi Ops Pintu pada 15 Disember lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 40 tahun dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah di sekitar Kuching dan Padawan sejak Julai lalu.


“Empat penjenayah termasuk seorang perancang utama sindiket pecah kedai dan curi berjaya diberkas selepas risikan dan intipan dilakukan Jabatan Siasatan dan Jenayah Sarawak.

“Polis turut merampas barangan curi seperti alat ganti motosikal dan peralatan premis salon yang dianggarkan bernilai RM23,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen di sini hari ini.

Menurut Fisol semakan rekod polis turut mendapati tiga daripada suspek memiliki rekod kesalahan narkotik dan kecurian motosikal.

Polis kini katanya sedang giat mengesan empat lagi suspek dipercayai terlibat dalam sindiket sama.

Kes kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959. – DayakDaily.