Abdul Karim: Sambutan Tahun Baru 2021 patuhi SOP ketat

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Stadium Perpaduan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Dis: Sambutan ambang tahun baru 2021 yang bakal diadakan di Stadium Perpaduan di Kuching akan mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ketat.

Jaminan diberi Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sambil berkata ia hanya dihadiri seramai 1,000 tetamu yang diundang.


“Kita akan mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan tiada timbul isu jumlah kehadiran tetamu yang ramai.

“Stadium Perpaduan boleh memuatkan kapasiti maksima 5,000 orang, tetapi kita hanya mengundang 1,000 tetamu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.

Abdul Karim juga berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bakal hadir meraikan sambutan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan akan bermula pada jam 8 malam dengan persembahan nyanyian dan tarian artis-artis tempatan.

Katanya, ia bakal menjanjikan satu persembahan muzikal dan tarian tanpa henti yang menarik.

“Menghampiri detik 12 malam pertunjukan laser akan diadakan di dalam stadium diikuti dengan tembakan bunga api di luar stadium.

“Acara ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi TV Sarawak (TVS) dan Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas),” ujar Abdul Karim.

Artis popular Dayang Nurfaizah bakal muncul memberikan persembahan bersama artis tempatan.

Sambutan dianjurkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian bersama Majlis Seni Sarawak dengan kerjasama Orkestra Simfoni Sarawak. — DayakDaily