Polis Sarawak tumpaskan jenayah judi dalam talian

Pasukan polis menahan individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 17: Kegiatan perjudian secara dalam talian yang dipercayai nilai pertaruhan mencecah RM1 juta sebulan berjaya ditumpaskan menerusi satu operasi khas di sebuah kawasan perumahan di Bandar Baru MJC, Batu Kawa di sini hari ini.

Menerusi serbuan kira-kira pukul 9.30 pagi itu, seramai 13 individu termasuk empat wanita telah diberkas oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak.


Ketua JSJ Sarawak, SAC Denis Leong berkata, dalam serbuan sama, pasukan polis turut merampas sebanyak 29 unit telefon dan tujuh komputer yang dipercayai digunakan oleh sindiket perjudian tersebut.

Katanya, sindiket berkenaan mampu meraih jumlah pertaruhan perjudian dalam talian mencecah sehingga RM1 juta sebulan.

“Siasatan juga mendapati, mereka (sindiket perjudian) dipercayai sering bertukar lokasi untuk menjalankan jenayah berkenaan.

“Ia merupakan modus operandi bagi mengelak pihak berkuasa mengesan kegiatan perjudian haram yang dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Denis menambah, kesemua individu kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan 4(1)(c) dan (d) Akta Pertaruhan 1953,” katanya. — DayakDaily