Penderma darah digesa tampil ke tiga kempen derma darah di Kuching

Gambar penderma darah di kempen derma darah di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching hari ini (Jan 17, 2019) yang disiarkan di laman Facebook Blood Bank Hospital Umum Sarawak.

KUCHING, Jan 17: Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) mengajak orang ramai menyertai tiga kempen derma darahnya pada Sabtu dan Ahad ini.

Pada Sabtu, kempen itu dianjurkan Rafiq Mirza Academy di pasaraya Giant Batu 10 di Kota Padawan bermula jam 10 pagi sehingga 3 petang.

Pada Ahad, ada dua kempen iaitu yang dianjurkan FeedMill Sdn Bhd di eMart Batu Kawa, dari jam 10 pagi sehingga 3 petang manakala satu lagi kempen dianjurkan Pengurusan St Mark’s Church di St Mark’s Church di Batu Kawa dari jam 10.30 pagi sehingga 1.30 petang.

“Diharapkan penderma (darah) yang telah cukup tempoh akan tampil menderma bersama kami,” menurut Bank Darah HUS di laman Facebook Blood Bank Hospital Umum Sarawak.

Bank Darah HUS juga mengingatkan orang ramai yang menderma darah ini berbeza dengan ujian darah dan mereka tidak perlu berpuasa sebelum menderma darah di kempen itu dan meminta mereka makan terlebih dahulu termasuk kalangan penderma darah tetap. — DayakDaily