Polis Sarawak buka Bilik Gerakan Khas banteras perjudian haram

Operasi membanteras perjudian haram yang dilakukan polis Sarawak.

KUCHING, Julai 23: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak kini membuka Bilik Gerakan Khas bagi membanteras kegiatan perjudian haram di negeri ini.

Ketua JSJ Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, pembukaan bilik gerakan khas itu adalah susulan inisiatif yang diperkenalkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Julai 21 lalu.

Menurut beliau, bilik gerakan khas yang dibuka selama 24 jam itu akan membolehkan masyarakat umum menyalurkan maklumat dengan mudah berhubung aktiviti perjudian.


“Setiap maklumat dan laporan yang diterima berkaitan kegiatan perjudian haram itu akan disiasat terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan judi di kawasan masing-masing boleh menghubungi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat atau D7, JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di talian 082 274213,” kata Leong dalam satu kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini Mohamad Fuzi berkata, PDRM kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam memerangi gejala judi terutamanya judi dalam talian kerana melibatkan server di luar negara dan pengguna aplikasi telefon bimbit yang menyulitkan tindakan penguatkuasaan.

Operasi membanteras perjudian haram yang dilakukan polis Sarawak.

Sehubungan katanya, polis telah mengambil langkah tambahan dengan menyediakan bilik gerakan bagi memudahkan orang awam membuat laporan.

“Kesemua kontinjen di setiap negeri telah membuka bilik gerakan khas bagi memudahkan laporan dilakukan berhubung kegiatan judi,” katanya.

Polis memandang berat kenyataan pelbagai pihak yang mempertikaikan kesungguhan dan keberkesanan tindakan pasukan keselamatan itu dalam menangani aktiviti perjudian.

Polis mengakui dengan perkembangan teknologi semasa, pasukan keselamatan itu kini berdepan pelbagai cabaran dalam memerangi aktiviti perjudian terutamanya kegiatan judi dalam talian kerana melibatkan server di luar negara dan pengguna aplikasi telefon bimbit yang menyukarkan tindakan penguatkuasaan. — DayakDaily