KUCHING, Feb 5: Polis Sarawak terus menggempur pusat perjudian haram dengan menahan 63 kaki judi serta operator judi haram menerusi 29 serbuan yang dijalankan sepanjang minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, daripada 63 individu yang ditangkap, 48 orang adalah lelaki, manakala 15 lagi merupakan wanita.
Menurut beliau, kesemua kaki judi termasuk operator judi haram itu berusia antara 16 hingga 68 tahun, termasuk tiga warga asing.
“Serbuan berasingan itu melibatkan 16 jualan loteri haram, sembilan judi siber serta masing-masing dua serbuan dalam premis perjudian dan di tempat awam.
“Hasil serbuan, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM12,607 serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti haram itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dev memberitahu, usaha menghapuskan judi dalam talian juga diteruskan dengan menyerbu kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi menawarkan perkhidmatan isian semula judi online.
Katanya, sembilan serbuan telah dilakukan di Padawan, Kota Samarahan, Betong, Marudi serta Julau dengan berjaya menangkap 12 operator perkhidmatan itu.
“Serbuan juga dilakukan di Sibu dan Limbang dengan lapan ditangkap kerana bermain judi holo disamping merampas peralatan lain.
“Kesemua kaki judi yang ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. — DayakDaily