Polis sahkan Dr Ahmed keluar dari Sarawak dalam keadaan selamat

Dr Ahmed Mohamed Mohamed Sakr yang dilaporkan hilang.
Advertisement

KUCHING, Dis 15: Polis Sarawak hari ini mengesahkan seorang pakar patologi dari Mesir yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu sudah keluar dari negeri ini dengan menggunakan penerbangan AirAsia dari Kuching ke Kuala Lumpur pada Dis 7 lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, siasatan lanjut mendapati bahawa Dr Ahmed Mohamed Mohamed Sakr, 62, telah mengambil penerbangan AirAsia dari Kuching pada Dis 7 lalu pada pukul 6.55 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 8.40 malam.

Menurutnya, semakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA2 telah mengesahkan bahawa Dr Ahmed tiba di lapangan terbang tersebut seorang diri dan dalam keadaan selamat.

Advertisement

“Siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan lokasi terkini Dr Ahmed.

“Semakan lanjut mendapati bahawa beliau telah menempah tiket penerbangan Emirates dari Kuala Lumpur ke Cairo, Mesir pada Dis 23 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, bantuan juga telah dipohon dari Kedutaan Mesir di Malaysia melalui Interpol Bukit Aman untuk menyemak status Dr Ahmed dari keluarganya di Cairo.

“Siasatan setakat ini tidak mendedahkan sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, pada 12 Disember lalu, seorang pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) telah membuat laporan polis di Balai Polis Satok bahawa rakan setugasnya, seorang pakar patologi dari Mesir bernama Dr. Ahmed telah tidak hadir tugas sejak 8 Disember lalu.

Jelasnya, doktor terbabit juga tidak dapat dikesan di bilik sewanya di Chong Lin Plaza, di sini.

“Kes ini sebelum itu telah disiasat sebagai orang hilang oleh Ketua Polis Balai Satok.

“Pada masa yang sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal telah mengarahkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah untuk menyiasat kehilangan doktor ini secara mendalam.

“Siasatan mendapati bahawa Dr. Ahmed telah dilantik secara kontrak sebagai pegawai perubatan pakar (Patologi) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan telah bertugas di Jabatan Patologi, HUS sejak tahun 2006,” katanya. – DayakDaily

Advertisement