Polis, Rela laksana pemantauan pastikan pematuhan SOP di Jalan Astana

Anggota polis dan Rela ketika melaksanakan pemantauan SOP di sekitar kawasan Jalan Astana, Petrajaya. Foto kredit Facebook Sarawak Edition

KUCHING, 24 April: Orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya ketika keluar untuk membeli juada berbuka puasa.

Melalui siaran lansung oleh Sarawak Edition menerusi laman Facebooknya, pihak polis bersama pasukan Rela giat melakukan pemantaun dan pemeriksaan di gerai-gerai di sekitar Jalan Astana, Petrajaya di sini hari ini.

Pemantauan dilakukan di kawasan terbabit memandangkan terdapat banyak gerai-gerai menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa sekaligus menjadikan ia salah satu kawasan tumpuan orang ramai.

Sepanjang tinjauan dan pemantau itu, didapati semua peniaga atau penjaja di kawasan tersebut mematuhi semua SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Peringatan bagi memastikan orang ramai terus mematuhi SOP juga turut disiarkan secara terus melalui pembesar suara di Balai Polis bergerak yang diletakkan berhampiran kawasan Jalan Astana terbabit.

Ini bagi membolehkan orang ramai sentiasa mengetahui tanggungjawab mereka untuk terus patuh kepada SOP sekaligus mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakkan kompaun.

Sementara itu, menerusi infografik yang di keluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sarawak melaporkan sebanyak 570 kes baharu positif jangkitan Covid-19.

Jumlah itu, kedua tertinggi di seluruh negara selepas Selangor yang melaporkan sebanyak 768 kes positif Covid-19 hari ini. — DayakDaily