Polis rampas ganja 4.159kg, tahan tiga suspek di Kuching

Fisol (tiga dari kiri) menujukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Kuching pada 23 Dis 2020.
Advertisement

KUCHING, 24 Dis: Polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dan merampas dadah jenis ganja bernilai RM10,397.50 dalam dua serbuan berbeza semalam.

Timbalan Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan yang dilakukan itu susulan penahanan seorang suspek di kaki lima sebuah restoran di Temple Street di sini dalam keadaan membawa dua bungkusan yang mencurigakan.

Katanya, suspek kemudian membawa pihak polis ke kediamannya di tingkat dua bangunan terbabit sekali gus menjurus kepada penahanan suspek kedua iaitu seorang wanita berusia 33 tahun.

Advertisement

“Pemeriksaan yang dilakukan di rumah terbabit menemui satu bungkusan kotak berwarna kuning yang mengandungi empat ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 42.40 gram.

“Pemeriksaan yang dilakukan terhadap dua bungkusan dibawa suspek pertama juga menemui lima ketulan mampat dedaun kering dipercayai ganja seberat 3.06 kilogram yang dibalut menggunakan kertas karbon dan aluminium.

Beliau berkata, hasil soal siasat yang dilakukan ke atas suspek pertama seterusnya membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di sebuah kediaman di Jalan Sultan Tengah di sini sekitar jam 6.45 petang semalam.

Katanya pemerikasan lanjut yang dilakukan di rumah tersebut menemui 1,102 gram dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.

“Semakan yang dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek ini mendapati salah seorang daripada mereka iaitu suspek ketiga mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39A dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek adalah negatif dan mereka (suspek) ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga 30 Disember depan bagi membantu siasatan.

Kelihatan dadah dipercayai jenis ganja serta wang tunai yang di rampas dalam serbuan di kuching semalam (23 Dis 2020).

Fisol berkata, pihaknya percaya kesemua bekalan dadah terbabit diperoleh dari Semenanjung Malaysia dan dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

Katanya, modus operandi tersebut digunakan sindiket dengan meletakkan sama ada alamat penerima atau pengirim yang tidak lengkap sekaligus membolehkan pihak kurier terpaksa menyimpan barangan tersebut.

“Justeru, apabila pihak perkhidmatan kurier berhadapan dengan situasi ini yang mana alamat pengirim atau penerima yang tidak lengkap segeralah hunbungi kita agar risikan dan pemeriksaan terhadap pemilik serta bungkusan tersebut dapat dilakukan.

Sementara itu, Fisol berkata dalam satu operasi bersepadu bermula jam 11.00 pagi di Kampung Tabuan Melayu di sini, seramai 40 orang telah ditahan selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Daripada jumlah tersebut 26 orang termasuk lima wanita didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas mereka.

“Kesemua 26 orang ini iaitu 21 lelaki dan lima wanita ditahan dibawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi (lelaki) ditahan dibawah Seksyen 12(2) akta yang sama,” katanya. — DayakDaily

Advertisement