Polis Padawan adakan SJR di Batu 14 Jln Kuching-Serian dan di Batu Kitang

Sekatan jalan raya di Batu 14 Jalan Kuching-Serian didirikan mulai tengah malam tadi hingga 7 Jun.
Advertisement

KUCHING, 25 Mei: Polis Daerah Padawan telah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di Batu 14 Jalan Kuching-Serian (arah Serian-Kuching) dan di Batu Kitang (Jalan Kuching-Bau) mulai tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong, SJR dilaksanakan ekoran kemas kini SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperketatkan di Sarawak mulai 25 Mei hingga 7 Jun ini.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada semalam telah mengumumkan bahawa Zon Kuching telah dibahagikan kepada 4 zon iaitu Zon Kuching(meliputi Kuching dan Samarahan), Zon Serian, Zon Lundu dan Zon Bau.

Advertisement

“Sekatan jalan raya dilakukan bagi memeriksa pergerakan masuk ke Daerah Kuching dari Bahagian Serian, manakala di Batu Kitang mengawal pergerakan dari Daerah Bau memasuki Daerah Kuching,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambah Lim, ekoran pengumuman JPBNS itu, merentasi zon dari Serian ke Kuching adalah tidak dibenarkan kecuali dengan permit pihak polis.

Katanya lagi, pihak polis hanya boleh mengeluarkan permit atas 3 kategori iaitu perkhidmatan perlu, mereka yang bekerja di zon berhampiran contoh dari Serian hendak bekerja ke Kuching dan bagi hal-hal kecemasan seperti orang tua sakit tenat dan kematian.

“Bagi mereka yang tiada permit, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun,”tegas Lim.

Namun katanya, oleh kerana arahan dikeluarkan agak lewat(24 Mei), pihak polis dalam tempoh 2 hari ini ada budi bicara dengan terlebih dahulu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pengguna berhubung kaedah memohon permit.

“Selepas itu, kita akan lebih tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar.

“Kita akan keluarkan kompaun di bawah akta pencegahan dan kawalan Penyakit 1988.

“Jangan ingat selepas kompaun seseorang itu boleh teruskan perjalanan, mereka turut dikehendaki ‘u turn’ dan balik ke zon asal,” — DayakDaily

Advertisement