Polis Miri tahan lelaki disyaki curi pagar

Suspek (dua dari kanan) ditahan untuk membantu siasatan
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 25 Mac: Penahanan seorang lelaki warga tempatan awal pagi Khamis (25 Mac), membawa penemuan sebuah pagar besi jenis stainless steel bernilai RM2,800 yang dilaporkan hilang lima hari yang lalu dari sebuah rumah di Lorong Desaras Tudan.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan sekitar jam 12.10 pagi tadi, oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) dalam satu operasi dinamakan Ops Pintu.

Advertisement

Menurut ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Lorong Jati 2F Desa Senadin fasa 5 .

“Dengan dipandu arah suspek, sepasukan anggota JSJ Miri telah pergi ke kawasan semak berhampiran lampu isyarat Jambatan Asean dan menemui barang kes (pagar besi) yang disembunyikan oleh suspek,” jelas Hakemal.

Siasatan awal polis, suspek mengaku terlibat dengan kes mencuri pagar besi rumah bersama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas.

“Besi pagar sepanjang 18 kaki itu telah diangkat menggunakan kenderaan jenis Proton Saga milik rakan suspek,” katanya.

Difahamkan kehilangan besi pagar rumah telah dilaporkan hilang pada 20 Mac.

Semasa kejadian, pemilik rumah berkenaan tiada di rumah berkenaan kerana berada di kebun sawitnya di Simpang Jawa, Batu Niah.

Pemilik rumah telah dimaklumkan oleh jirannya menggunakan aplikasi WhatApps menyatakan pagar rumahnya jenis stainlees steel rumahnya telah hilang dicuri orang.

Kali terakhir beliau berada di rumah tersebut adalah pada 19 Mac sekitar jam 7 pagi sebelum berangkat ke kebunnya di Batu Niah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement