Guru mengaji ditangkap kerana disyaki mencabul

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Juetila Ozzy

KOTA SAMARAHAN,25 Mac: Seorang lelaki warga emas ditangkap selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Asajaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram mendedahkan suspek berusia 70 tahun merupakan seorang guru mengaji dan mangsa adalah anak didiknya.


Menjelaskan lebih lanjut, beliau memberitahu kejadian tersebut dilaporkan oleh ibu kepada mangsa selepas mangsa mengadu sakit di kemaluannya pada 23 Mac lepas.

“Mangsa memberitahu dia diganggu oleh seorang lelaki yang dikenalinya iaitu guru mengajinya sebanyak tiga kali pada sekitar bulan Mac di tempatnya mengaji iaitu rumah suspek.

“Bertindak kepada laporan polis yang dibuat ibu mangsa, pasukan operasi berjaya menangkap suspek semalam sekitar jam 5.20 petang di rumahnya dan kini ditahan di lokap IPD Kota Samarahan,” katanya.

Selain itu, Sudirman memberitahu mangsa telah dibawa untuk pemeriksaan kesihatan oleh pihak perubatan.

“Hasil pemeriksaan pihak perubatan mendapati tiada kesan kemasukkan dan hanya kesan luaran akibat geselan,” katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. — DayakDaily