Polis Miri rampas ganja bernilai RM2,500 yang dihantar melalui perkhidmatan kiriman kurier

Ganja seberat 1.05kg yang dirampas.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 31 Jan: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Miri (BSJN) pada petang Sabtu (30 Januari) merampas sebuah bungkusan dipercayai mengandungi dadah jenis ganja bernilai RM2,500 yang dihantar melalui perkhidmatan kiriman kurier dari Petaling Jaya, Selangor ke Miri.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata bungkusan yang mengandugi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1.05kg dihantar ke satu alamat di Permyjaya di sini.

Mengikut data pengirim, bungkusan tersebut telah dinyatakan sebagai bekas penyimpan makanan.

Usaha mengesan pengirim dan penerima bungkusan itu kini sedang giat dijalankan.

Menurut Hakemal, bungkusan berkenaan telah dikirimkan oleh pengirim pada Januari 20 yang lalu ke satu alamat di Permyjaya di sini, dan sejak seminggu yang lepas, anggota BJSN Miri diketuai ASP Mingat Bakil telah memerhatikan siapa yang akan mengambil bungkusan tersebut di pejabat perkhidmatan kurier di Jalan Miri Bypass di sini.

Setelah menunggu lama, pihak polis memutuskan untuk memeriksa dan merampas bungkusan yang tidak dituntut kira-kira 3.45 petang semalam, kata Hakemal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily