Polis Miri menunggu laporan bedah siasat lelaki yang ditemui tidak sedar diri

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 5 Ogos: Polis Miri masih menunggu laporan bedah siasat untuk seorang lelaki berusia 28 tahun yang maut, selepas ditemui tidak sedar diri di dalam bilik tidurnya di Taman Permai, Jalan Dato Permaisuri Bandar Baru Permyjaya pada pagi Isnin lepas (3 Ogos).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng, siasatan awal mendapati, sehari sebelum kejadian, iaitu pada 2 Ogos (Ahad), mangsa bersama kawannya pergi ke Lorong 4 Flat Tudan untuk sesi minum.

Advertisement

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” ujar Lim.

Beliau berkata, selepas pulang dari Lorong 4 Flat Tudan berkenaan, rakan-rakan mangsa ada menghantarnya balik ke rumah di Taman Permai, namun, disebabkan mereka tidak pasti lokasi kediaman mangsa, mereka telah menurunkannya kira-kira 300 meter sebelum sampai ke rumahnya.

“Dari lokasi tersebut, mangsa telah berjalan sendirian,” kata Lim.

Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

Pada pagi 3 Ogos (Isnin), sekitar jam 8.30, ibu mangsa menemukannya dalam keadaan terbaring di dalam bilik tidurnya dengan mulut berbuih.

“Keluarga mangsa dengan segera menghantarnya ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia tidak berapa lama kemudian oleh staff perubatan di sana,” kata Lim. — DayakDaily

Advertisement