Polis Miri berjaya tumpas dua geng pecah rumah, suspek dalang utama ditahan

Suspek yang dipercayai dalang utama pecah rumah ditahan and dibawa ke balai polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Okt: Lelaki yang dipercayai dalang utama pecah rumah dan seorang wanita antara empat suspek yang ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) dalam satu operasi pagi ini.

Suspek dipercayai dalang utama kumpulan pecah rumah iaitu Geng Toni dan Geng Richard yang telah dicekup baru-baru ini melibatkan 23 kes dengan anggaran kerugian sebanyak RM200,000.

Ahli kedua-dua kumpulan telah berjaya ditangkap dalam operasi yang dilakukan dari 3-7 Okt.

Siasatan awal mendapati dalang utama merupakan orang yang bertanggungjawab membawa lori ke lokasi pecah rumah.

Polis percaya, dengan tertangkapnya dalang utama ini, mereka berjaya menyelesai sebanyak tujuh lagi kes pecah rumah, termasuk yang terbaru melibatkan sebuah tadika di Permyjaya pada 12 Okt tahun ini dengan anggaran kerugian RM10,000.

Kesemua suspek yang terdiri dari warga tempatan, ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar Miri dalam operasi bermula jam 8.30 pagi sehingga 11.45 pagi.

Barangan yang dipercayai hasil curi berjaya ditemui dalam operasi pagi ini (Okt 15, 2020).

Suspek pertama telah ditahan di kawasan flat Quadruplex Permyjaya, sementara suspek kedua di Desa Senadin dan dua lagi di sebuah rumah sewa di kawasan Permyjaya.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Menerusi serbuan tersebut, pihak JSJ turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil pecah rumah, antaranya sebuah televisyen, beberapa pasang kasut berjenama, kipas angin, barangan elektronik, dan mata wang asing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah. — DayakDaily