BELAGA, Jan 2: Seorang lelaki warga emas maut selepas lehernya dikelar oleh anaknya sendiri dengan menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian amuk di Rumah Panjang Tanjung Long Pawah dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Indo Usa, 60, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dan pendarahan teruk yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Melay Tingom berkata, semasa kejadian, suspek iaitu Syielvester Indo, 26, dikatakan tiba-tiba naik angin dan mengamuk sebelum cuba dileraikan oleh bapanya.
Katanya, pada mulanya mangsa berjaya mengelak daripada terkena libasan parang sebelum suspek menyerang seorang penduduk di rumah panjang sama.
“Kemuncak kemarahan suspek ialah semasa dia meluru semula ke arah bapanya sebelum dia mengelar leher mangsa dengan menggunakan sebilah parang.
“Panik melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa, suspek kemudian bertindak melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Melay memberitahu, sejurus menerima laporan kejadian tersebut, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi menggunakan perahu.
Katanya, perjalanan ke rumah panjang berkenaan mengambil masa kira-kira selama dua jam.
“Pihak polis berjaya menangkap suspek kira-kira pukul 11 pagi dan merampas sebilah parang yang digunakan suspek mengelar leher mangsa.
“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat,” ujarnya lagi.
Sambil menambah, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. ā DayakDaily