Polis Marin sita dua lori balak di Sarikei, nilai rampasan RM340,000

Kelihatan sebahagian kayu balak yang dirampas.

SARIKEI, 19 Sept: Dua buah lori yang sarat muatan kayu balak ditahan di Jalan Kesa Baron, di sini pada 16 Sept lalu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata dua lori tersebut ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan pada jam 10.10 malam.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kayu balak yang diangkut dua lori itu tidak mempunyai tanda tukul oleh Jabatan Hutan Sarawak.


“Selain itu, pemandu juga gagal mengemukan dokumen ‘Transit Removal Pass’ dan ‘Royalty Removal Pass’ menyebabkan pemandu bersama lori ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

“Anggaran keseluruhan nilai rampsan adalah sebanyak RM340,000.

“Suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Wilayah Sarikei untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” kata Zulfikar. — DayakDaily