Masjid terapung Kampung Punang ubah landskap perkampungan pesisir, kata Awang Tengah

Awang Tengah(dua dari kiri) menunjukkan modul Masjid Terapung Kampung Punang pada lawatan itu

LAWAS, 19 SEPTEMBER: Masjid terapung Kampung Punang bakal menjadi mercu tanda yang akan mengubah landskap perkampungan pesisir laut Punang.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pembinaan masjid baru Kampung Punang tersebut akan memberikan keselesaan kepada umat Islam untuk beribadat.

“Konsep masjid ini adalah masjid terapung menghadap ke Laut China Selatan dan dalam linkungan Teluk Brunei.


“Masjid ini akan kita sepadukan dengan pembinaan ‘Punang Nature Walk’ dan Punang Waterfront yang sedang dalam pembinaan,” tambahnya ketika lawatan kerja ke Kampung Punang semalam.

Awang Tengah menjelaskan keindahan pantai Punang akan menjadi wadah pembangunan kerohanian, pusat riadah dan pusat ekonomi komuniti.

Justeru beliau menyeru penduduk Kampung Punang meningkatkan peluang ekonomi melalui perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau menambah sebuah Anjung Usahawan juga dalam pembinaan di kawasan berhampiran Kampung Punang Jaya yang akan memberi ruang penduduk tempatan melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi kecil dan sederhana. — DayakDaily