Polis marin rampas rokok dan minuman keras bernilai cecah RM100,000 di Miri

Kelihatan rokok dan minuman keras yang ditemui di dalam lori itu.

MIRI, 25 Jan: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai di Jalan Kiambang Tudan, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 5 ACP Shamsol Kassim berkata anggotanya telah mengekori sebuah lori yang dilihat mencurigakan dari kawasan Permyjaya sekitar jam 7.30 malam.

“Setelah sampai di simpang Jalan Kiambang Tudan, pasukan operasi bertindak menahan lori tersebut untuk pemeriksaan.


“Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa muatan minuman keras pelbagai jenis dan rokok pelbagai jenama.

“Pemandu lori gagal mengemukan sebarang surat atau dokumen yang sah daripada Kastam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua barang yang disyaki tidak bercukai kastam itu kemudian dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk lori ialah sekitar RM142,440.

“Kesemua rampasan dan pemandu lori diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily