Polis Marin rampas rokok bernilai RM41,184 di Bintangor

Anggota PPM menunjukkan rampasan rokok tersebut dengan turut kelihatan suspek (tengah) juga ditahan bagi membantu siasatan.

BINTANGOR,21 Jan: Pasukan Polis Marin (PPM) Martek Sarikei berjaya merampas pelbagai jenis rokok disyaki tiada cukai Kastam dianggarkan bernilai RM47,184 dalam Op Landai semalam.

Komandernya PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata terdahulu anggotanya telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis tidak bernombor di Court Road Pekan Bintangor, di sini iaitu sekitar jam 5.30 petang.

Dengan dipandu arah seorang lelaki dipercayai pemilik premis mendapati premis tersebut dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis rokok tidak bercukai.


“Seterusnya pada jam 6.30 petang, pasukan serbuan membuat pemeriksaan ke atas sebuah kedai runcir dipercayai dimiliki oleh pemilik stor tadi dan turut menemui pelbagai jenis rokok juga disyaki tiada cukai Kastam.

“Pasukan serbuan bertindak merampas kesemua rokok dari stor dan kedai tersebut yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM47,184,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pemilik kedai dan stor yang berusia 61 tahun juga ditangkap untuk siasatan lanjut.

Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Balai Polis Bintangor.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. -DayakDaily