JTS Bintulu ditutup sementara untuk sanitasi

Covid-19 file pic

BINTULU, 21 Jan: Operasi di pejabat Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Bintulu akan ditutup sementara hari ini dan esok (22 Jan) sebagai langkah keselamatan dan kesihatan bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan.

JTS Bintulu telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kerja pembersihan di pejabat, awal petang semalam iaitu pada 20 Januari 2021.

JTS dalam satu kenyataan berkata pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesihatan setiap pelanggan dan warga kerjanya dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi pengoperasian pejabat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

“Antara langkah kawalan yang diambil adalah mencatatkan maklumat pelanggan yang hadir, mengambil bacaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman serta melaksanakan sanitasi peralatan kaunter dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Katanya, orang ramai yang ingin berurusan dengan jabatan itu juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan atas talian iaitu aplikasi Mobile Lasis menggunakan telefon pintar atau e-Lasis yang boleh dilayari menggunakan komputer.

“Maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi di talian 082- 444
111 atau email ke landsurvey@sarawak.gov.my,” katanya. – DayakDaily