Polis Marin gagalkan cubaan seleweng minyak diesel di Miri

Anggota operasi melakukan siasatan di lokasi serbuan.
Advertisement

MIRI, 14 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 berjaya merampas 2,700 liter minyak diesel disyaki cuba diseleweng dalam operasi Op Kontraban di kawasan Pujut 3 di sini, lewat petang Jumaat.

Komander PPM Wilayah Lima ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata anggota dari Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal PPM Miri telah menahan sebuah Toyota Hilux dan van sekitar jam 6.20 petang.

Katanya, pemeriksaan awal mendapat kenderaan tersebut dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan dan terdapat dua lagi lelaki dipercayai warga Indonesia.

Advertisement

“Pemeriksaan lanjut ke atas 4WD tersebut didapati membawa minyak diesel lebih kurang sebanyak 900 liter di dalam tangki tambahan iaitu tangki plastik segi empat di bahagian belakang.

“Manakala pemeriksaan ke atas van didapati membawa minyak diesel lebih kurang sebanyak 1,800 liter yang disimpan di dalam tangki plastik segi empat di bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zulfikar memberitahu pemandu kedua-dua kenderaan terbabit gagal menunjukkan atau mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa bekalan minyak diesel tersebut.

“Siasatan mendapati mereka telah melakukan kesalahan iaitu membawa, memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa permit atau lesen dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Justeru, pasukan operasi kemudian bertindak merampas kedua-dua buah kenderaan tersebut bersama 2,700 liter minyak diesel, tiga tangki plastik yang diubah suai pada kenderaan dan satu unit pam.

Dedahnya, nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan berjumlah RM106,085.

Kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kesemua barang rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat KPDNHEP Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement