MIRI, 27 Ogos: Unit Risikan Marin (URM) Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 5 pada Sabtu telah menahan sebuah motokar van dan merampas 250 liter minyak diesel dengan anggaran nilai RM16,327.50.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, rampasan dilakukan semasa satu Ops Kontraban yang dilakukan sekitar jam 9.30 pagi tadi di tepi Jalan Cattleya 3, dihadapan MSTS Miri, Training Centre.
Hasil pemeriksaan dan pengakuan lisan dari pemandu motokar van berkenaan telah mengaku membawa muatan minyak diesel didalam bahagian belakang kenderaan tersebut lebih kurang 170 liter didalam satu unit tangki tambahan (besi) dan tiga tong jerrycan x 25 liter, warna putih.
“Jumlah keseluruhan lebih kurang 250 liter daripada pemandu kenderaan tersebut,” ujarnya.
Pemandu tersebut juga gagal mengemukan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki/menyimpan/membawa barang kawalan tanpa permit/lesen/kebenaran khas dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDNHEP Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily