Remaja tertimbus sehingga ke paha dalam kejadian tanah runtuh di Pakan

Pasukan bomba memeriksa di lokasi kejadian.

PAKAN, 28 Ogos: Seorang remaja lelaki tertimbus sehingga paras paha dalam kejadian tanah runtuh membabitkan rumah panjang Branda Anak Baling, Nanga Keluton, Kalan Entabai-Pakan petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya terima panggilan dari pihak klinik kesihatan memaklumkan berlaku runtuhan tanah.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi laporan berlaku tanah runtuh di belakang dapur dan bilik di empat daripada 36 pintu di rumah panjang tersebut.

“Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tertimbus pada aras paha dan telah berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, seorang wanita warga emas berusia 59 tahun mengalami kecederaan ringan di kaki.

Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nanga Entaih untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, pasukan bomba memasang sawar-sawar di kawasan runtuhan.

“Bomba menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada serga mengarahkan kesemua penghuni di rumah yang terjejas untuk berpindah ke rumah saudara,” katanya. — DayakDaily